font size

Kementerian Kewangan Mengadakan Majlis Bertadarus Dan Khatam Al Qur’an Bagi Tahun 1432H / 2011M

Bagi menandakan berakhirnya pembacaan Al Qur’an 30 juzuk sepanjang bulan Ramadhan tahun ini, Kementerian Kewangan dan Jabatan-Jabatan  di dalamnya mengadakan Majlis Khatam Al-Quran di Surau Kementerian Kewangan, Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Pemangku Menteri Kewangan II di Jabatan Perdana Menteri,  Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Bahrin bin Abdullah.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap-Timbalan Setiausaha Tetap dan Ketua-Ketua Jabatan dan Bahagian, serta pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Jabatan-Jabatan di dalamnya.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Faatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Ketua Imam Masjid Kampong Pelambayan, Awg Haji Shahbirin bin Haji Mohd Noor.  Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan Khatam Al Qur’an beramai-ramai dari Surah Adh Dhuhaa hingga Surah An Naas oleh peserta daripada Kementerian Kewangan dan Jabatan-Jabatan di dalamnya yang diketuai oleh Pemangku Menteri Kewangan II di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Paduka Awg Haji Bahrin bin Abdullah.  Ini diikuti dengan bacaan takhtim, doa khatam dan seterusnya Dikir Marhaban oleh 10 orang peserta dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja.  Majlis juga diteruskan dengan bacaan tahlil yang dipimpin oleh Ketua Imam Masjid Kampong Pulaie, Awg Haji Borhanuddin bin Haji Damit.  Majlis diakhiri dengan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Ketua Imam Masjid Kampong Pelambayan.

Majlis Khatam Al Qur’an ini diselenggarakan oleh Jabatan Perbekalan dan Stor Negara, Kementerian Kewangan.

 

 

projectbrand
Share