font size

KILANG MARJERIN PERTAMA APRIL INI

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb – Usaha negara mempelbagaikan ekonominya dan mencipta peluang pekerjaan serta menarik pelaburan asing langsung menunjukkan hasil positif apabila sebuah syarikat Turki bakal membuka kilang pembuatan marjerin di sini.

 

Syarikat pembuatan makanan Turki, Marsa Yag Sanayi Ve Ticaret Anonim Sirketi yang berpangkalan di Istanbul bakal membina sebuah kemudahan kilang pembuatan marjerin di Brunei Darussalam sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangannya di rantau ini.

 

 

Syarikat usaha sama dinamakan Western Foods and Packaging Sdn Bhd (WFP) akan memulakan pengeluarannya dalam 2017, menurut Kementerian Kewangan hari ini.

 

Penubuhan WFP di sini dijangka meningkatkan potensi kepakaran syarikat Turki itu dalam menghasilkan marjerin, minyak dan lemak bagi pasaran eksport.

Usaha sama antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui melalui Strategic Development Capital Fund di Kementerian Kewangan dan Marsa Yag Sanayi Ve Ticaret Anonim Sirketi dijangka akan mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi negara dalam sektor-sektor luar daripada minyak dan gas serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Brunei.

 

 

Kilang pembuatan marjerin WFP ini dibina di atas tanah seluas 1.9 hektar di kawasan Perindustrian Serasa dan dijangka memulakan pengeluaran pada April depan dengan kapasiti permulaan pengeluaran marjerin sebanyak 200 tan sehari.

 

Bahan mentah utama bagi pengeluaran marjerin adalah minyak kelapa sawit dan produk siap akan dieksport ke rantau Asia. WFP pada masa ini sedang dalam proses mendapatkan persijilan halal bagi kilang dan produknya dalam usaha memenuhi keperluan pengguna Muslim dan juga membantu mempromosikan logo Brunei Halal di peringkat antarabangsa.

 

WFP juga sedang meninjau peluang hiliran bagi produk-produknya yang boleh digunakan sebagai bahan untuk membuat biskut, coklat, pastri dan aiskrim. Produk sampingannya boleh digunakan sebagai makanan ayam dan membuat sabun serta bahan pencuci.

 

Syarikat itu yang pada masa ini menggaji 17 orang terdiri daripada 13 orang anak tempatan dan empat orang ekspatriat, dijangka membuka lebih 100 lagi peluang pekerjaan untuk anak tempatan apabila ia beroperasi sepenuhnya tahun ini.

 

Manakala syarikat induknya, Marsa diasaskan di Turki pada 1922 untuk menghasilkan produk-produk bagi kegunaan pasaran tempatan dan mula mengeksportnya pada tahun 1969. Syarikat itu pada masa ini mengeksport produk-produknya ke lebih 60 buah negara di seluruh dunia dan mempunyai kadar pusingan modal lebih $100 juta.

 

Keupayaan pengeluaran tahunan syarikat itu adalah 200,000 tan marjerin dan 100,000 tan cecair minyak terutamanya dari kilang terbesarnya di Turki, Adana. Syarikat itu juga mengeluarkan lelemak (shortening) minyak bunga matahari, minyak zaitun, minyak sapi, pasta, tepung, serbuk sup, pencuci mulut dan semolina.

 

Ia juga berhasrat untuk mengukuhkan status pasaran globalnya melalui teknologi pengeluaran canggih dengan kualiti berstandard dunia dan produk-produk baru.

 

projectbrand
Share